SEJARAH PKG KUALA PEGANG

Pusat Kegiatan Guru Kuala Pegang terletak di Sekolah Kebangsaan Kuala Pegang, Baling, Kedah.Berbekalkan sumber tenaga manusia dan peralatan yang minima, Pusat Kegiatan Guru Kuala pegang atau ringkasnya PKG Kuala Pegang disandarkan harapan untuk menjadi pemangkin kepada dasar pendidikan Negara seperti, PPSMI, KIA2M  dan pembestarian sekolah.
Dengan moto ‘teknologi untuk pendidikan bestari, PKG Kuala Pegang menggalas harapan  dan amanah tersebut berteraskan kepada konsep, objektif, peranan serta fungsi umum seperti terkandung dalam buku konsep dan pengoperasian PKG. Fungsi semasa PKG yang digubal pada setiap tahun pula bertujuan untuk  membolehkan PKG keseluruhannya  bergerak seiring dengan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia.
PKG Kuala Pegang yang memulakan operasinya di bangunan sendiri pada tahun 1991 telah melalui beberapa perubahan pada namanya berdasarkan kepada perkhidmatan yang diberikan. Antaranya, Pusat Sumber Tempatan (PST -1978), Pusat Media Daerah (PMD-1981) dan Pusat Sumber Pendidikan Daerah (PSPD-1986).  Penguatkuasaan Pekeliling Kementerian Pelajaran (KP(PP) 0050/1261 Jilid 7(23))pada 1 Januari 1996 yang meletakkan PKG di bawah pengurusan PSPN. PKG pada kedudukan penting sebagai agen Kementerian Pelajaran dalam pengumpulan data, penyaluran maklumat dan edaran bahan ke sekolah ahli.
Keahlian PKG Kuala Pegang terdiri daripada 28 buah sekolah.  15 buah sekolah kebangsaan,3 buah sekolah jenis kebangsaan Cina,  3 buah sekolah jenis kebangsaan Tamil dan 7 buah sekolah Menengah.  PKG Kuala Pegang telah memberi perkhidmatan terbaik kepada sekolah-sekolah ahli dan pihak sekolah juga dapat menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan dengan lebih kerap dan mudah.
Antara kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh PKG Kuala Pegang ialah:
  • Ruang / bilik untuk berkursus, berbengkel, berseminar dan bermesyuarat
  • Ruang dan peralatan untuk mengakses internet (cable dan wireless)
  • Ruang makan
  • Perpustakaan
  • Khidmat bantu PSS dan ICT
  • Khidmat nasihat berkaitan teknologi pendidikan
  • Pemantauan perlaksanaan program NILAM, TVP, PSS dan Pembestarian sekolah.
Ruang dan bilik-bilik khas disediakan dengan mementingkan keselesaan dan kepuasan pelanggan.  Suasana yang kondusif dengan kelengkapan untuk berkursus, berbengkel, berseminar dan bermesyuarat menjadi tarikan kepada guru, masyarakat setempat serta lain-lain institusi seperti Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah dan Institut Perguruan.  Berada di PKG Kuala Pegang sungguh menyenangkan.  Anda boleh beristirehat sambil melayari internet dari komputer-komputer yang disediakan atau membawa sendiri komputer riba untuk mengakses dari kemudahan wifi yang disediakan.  Ruang makan yang boleh menampung 80 orang ini juga merupakan ruang siber bagi pengguna.  Selain pemerolehan maklumat dari gedung maya, pengguna terutamanya guru dapat  membuat rujukan dan pinjaman buku dari perpustakaan yang disediakan.
Selain kemudahan peralatan, guru juga boleh mendapatkan khidmat nasihat dan khidmat bantu berkaitan Pusat Sumber Sekolah, Nilam, TV Pendidikan dan ICT.  Segala kemudahan dan perkhidmatan yang diberikan adalah untuk membantu dan menyokong sekolah untuk mencapai pendidikan berkualiti selaras dengan objektif penubuhan PKG.
Perkhidmatan dan fungsi semasa PKG Kuala Pegang dilaksanakan mengikut keperluan setempat dan menepati objektif penubuhan PKG itu sendiri. Antaranya:
  1. Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru dalam Teknopen (teknologi pendidikan)
  2. Mengumpul dan menyebar maklumat professional pendidikan khususnya dalam bidang teknopen
  3. Meningkatkan keberkesanan pengurusan dan penggunaan PSS
  4. Membantu dalam penghasilan bahan sumber pengajaran dan pembelajaran
  5. Membantu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru dalam bidang teknologi maklumat
  6. Membantu menyediakan kemudahan bagi aktiviti pendidikan untuk guru-guru setempat
  7. Memantau dan melaporkan tahap pembudayaan teknologi di sekolah dalam program pembestarian sekolah
Bagi memantapkan peranannya sebagai unit sokongan sekolah, PKG Kuala Pegang telah membariskan pentadbir-pentadbir sekolah dalam strukur organisasi Pengurusan Aktiviti PKG dan Jawatankuasa Kerja PKG.  Struktur organisasi PKG Kuala Pegang di pengerusikan oleh Guru Besar dengan dibantu oleh  seorang Naib Pengerusi. Manakala PTP 1 menjadi setiausaha.  4 orang dari kalangan Pengetua/Guru Besar akan dipilih sebagai pengerusi bagi 4 buah Jawatankuasa Kerja iaitu:

a) J/Kerja Penghasilan bahan

b) J/Kerja Pusat Sumber Sekolah

c) J/Kerja Teknologi Maklumat dan ICT

d) J/Kerja Sosial dan Kebajikan.

Setiap jawatankuasa kerja perlu mewujudkan pasukan kerja bagi menyedia dan melaksanakan perancangan tahunan bagi aktiviti jangka pendek dan jangka panjang berdasarkan keperluan sekolah kelompok.  Perancangan ini seharusnya dibuat bagi membolehkan guru-guru mencapai sasaran 7 hari berkursus dalam setahun.
Selain melaksanakan aktiviti yang dirancang oleh pasukan kerja, PKG Kuala Pegang juga melaksanakan aktivitinya yang berteraskan teknologi pendidikan di samping mengutamakan aktiviti yang dapat meningkatkan kualiti pendidikan terutama bagi matapelajaran teras. Aktiviti ini menjadi sasaran kerja tahunan pegawai yang perlu dilaksanakan pada setiap tahun dan tidak terhad kepada kursus dan bengkel sahaja sebaliknya meliputi aktiviti khidmat bantu, konfigurasi rangkaian dan pemantauan.

No comments:

Post a Comment